Sesi persekolahan 2009 sudah bermula.Kini pelajar dan guru sibuk dengan kegiatan harian.Guru menyampaikan ilmu dan murid menerima untuk dihayati serta diamalkan dalam kehidupan mereka..( bak kata ayah mertua cik bibi..don't teach them knowledge, but teach them how to apply the knowledge). Tugas guru bukan saja perlu pakar dalam profession perguruan malah bertindak sebagai pendidik dan pembimbing cemerlang untuk menangani cabaran memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan.
Firman Allah yang bermaksud :
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik- baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada perkara buruk dan keji serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar- benarnya)"
Surah Ali- Imran ; 110
Pendidikan cemerlang dengan lahirnya kumpulan guru cemerlang dapat membantu semua warga pendidik berusaha menjuruskan reformasi potensi dan pencapaian pelajar. Perubahan ini berlaku lanjutan daripada pelbagai bentuk pengetahuan, kemahiran, maklumat dan pengalaman yang diterima pendidik dengan bertindak bukan sekadar penyampai semata- mata.
Pembelajaran lebih memfokuskan kearah tarbiah, asuhan serta didikan untuk membentuk hati, jiwa, mental dan nurani anak didik mereka supaya lengkap dengan ciri insaniah yang baik untuk menjadi insan yang berkualiti.
Allah telah berfirman :
"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia". Surah Ar-Rum; 41
Besar nilai dan makna pendidikan menjadikan guru atau pendidik golongan penting untuk melahirkan generasi insan berilmu yang akan menterjemahkan pengetahuan diperoleh dalam bentuk tindakan ke arah masa depan yang lebih gemilang. Ilmu yang boleh diselaraskan dengan tuntutan syariat pula adalah pemangkin kepada lahir masyarakat berkualiti. Biarpun bukan semua guru dan warga pendidik layak diberi gelaran guru cemerlang, perlu didiingatkan pendidikan kearah kegemilangan perlu ditangani secara bersepadu.
Semangat keazaman serta iltizam dapat menjadikan bidang pendidikan sebagai jihad bagi guru menabur jasa dan bakti. Jasa dan pengorbanan yang terarah itu membantu membangunkan bangsa serta negara. Hakikatnya, bagi semua guru anugerah bukan segala- galanya kerana yang pasti Allah sudah menjanjikan ganjaran lebih baik untuk mereka.
Firman Allah yang bermaksud :
" Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya". Surah Al- Alaq; 1-5
Jelaslah pendidikan bermula daripada proses penerokaan yang perlu disertai dengan asas agama yang kukuh. Antaranya adalah memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah untuk mendapat keredhaan Allah. Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa jua perbuatan, jika dimulakan dengan nama Allah dapat mengelak diri terpesong daripada matlamat sebenar mereka.
Rasulullah saw bersabda : " Menuntut ilmu itu adalah fardhu kepada semua umat Islam"
Rasulullah menitikberatkan setiap umatnya meletakkan usaha mencapai kebahagiaan diri dengan mencari dan mempelajari pelbagai ilmu serta kemahiran mengikut keperluan atau kecenderungan masing- masing.
Dalam konteks dunia pendidikan hari ini pula, pelbagai disiplin ilmu yang dipelajari individu perlu diselaraskan dengan pendidikan bestari sebagai persediaan melahirkan generasi berkualiti. Ilmu yang tidak digemblengkan dengan asuhan serta pendidikan mantap akan hanya melahirkan manusia yang rakus untuk memperolehi kepentingan dan kemewahan dunia dengan menghalakan cara bagi mencapai matlamat diri.
Sebagai syarat mencapai kegemilangan dan kecemerlangan, pendidik juga perlu berlumba- lumba mengejar ilmu, kemahiran serta membuat penyelidikan berkaitan bidang pendidikan. Ia boleh diperoleh melalui pengajian separuh masa atau sepenuh masa. Islam menekankan proses pendidikan pada peringkat awal kerana mudah menerima didikan, asuhan atau kemahiran yang disampaikan. Disini letaknya peranan besar ibu bapa dalam menentukan hala tuju masa depan anak mereka.
Sementara guru adalah pendidik, pendukung kepada usaha mencari keredhaan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Mereka adalah penyambung seruan Rasulullah menyampaikan ilmu Allah untuk melahirkan insan cemerlang.
Rasulullah saw mendoakan guru dalam sabda yang bermaksud :
" Dan ampunilah wahai Tuhan kami akan semua guru kami (yang telah mencurahkan ilmu kepada kami) juga kepada orang yang mengasihi kami dan menasihati kami serta memberi petunjuk kepada kami untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat".
Hadia riwayat Imam Ahmad.
No comments:
Post a Comment